Monday, 5 November 2012

KERJAYA


KERJAYA
Setiap mahasiswa di universiti pastinya mengimpikan kerjaya yang baik selepas menamatkan pengajian di bidang masing-masing. Bidang yang saya ambil di universiti sekarang adalah Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan. Saya melihat bidang pengajian yang saya ambil sekarang cenderung untuk menjadi pengurus di bahagian pembangunan.

Prospek masa hadapan yang dapat saya lihat dari pekerjaan sebagai pengurus pembangunan adalah seseorang mampu merancang sesuatu projek infrastruktur  dan  perumahan. Pengurus di bahagian projek sebegini mampu memikirkan dan bagaimana mahu menguruskan sesuatu projek tersebut berjalan dengan lancar.

Seterusnya, seorang pengurus pembangunan mampu menyampaikan maklumat terbaru tentang  sesuatu projek pembangunan. Ia mampu disampaikan semasa diadakan seminar atau kursus tentang transformasi atau pembangunan baru yang mahu dilakukan. Secara tidak langsung dengan turut diadakan perbincangan secara ilmiah dengan peserta –peserta lain dalam sesuatu seminar diadakan.

Selain itu, kerjaya ini membolehkan seseorang tersebut boleh melawati negara luar. Ini untuk mendedahkan seseorang pengurus tersebut kepada pembangunan negara lain. Mereka mampu membawa ilmu dan pengalaman yang didapati untuk diaplikasikan negara sendiri.

Oleh itu, kerjaya ini menjanjikan peluang untuk pengurus pembangunan untuk menjadi lebih berwibawa. Mereka mampu mempunyai visi dan misi yang jelas untuk melakukan sesuatu projek dan menjamin pendapatan yang lumayan dan tinggi.
(190 patah perkataan)

ISU POLITIK SEMASA LUAR NEGARA


ISU POLITIK SEMASA LUAR NEGARA
Keadaan  dunia hari ini cukup membimbangkan kita sebagai rakyat Malaysia. Walaupun negara ini tidak dilanda krisis politik seperti di luar negara, tetapi kita harus mengambil tindakan berjaga-jaga. Hari ini isu seperti krisis peperangan di Syria,  tindakan negara haram Israel ke atas bumi Palestin, pendudukan tentera Amerika Syarikat di negara Afghanistan dan Iraq adalah perkara yang berlaku di dunia ini.
Kemusnahan dapat dilihat akibat masalah sebegini iaitu dari segi infrastruktur dan manusia. Lebih malang lagi, krisis peperangan sebegini sedikit sebanyak memberi kesan kepada psikologi rakyat sesebuah negara yang mengalaminya.
Antaranya rakyat di sesebuah negara tidak dapat mengecapi keamanan yang sewajarnya. Hak-hak mereka sebagai manusia dicerobohi dan dipertikaikan oleh pihak-pihak yang melancarkan peperangan ini.
            Selain itu, krisis sebegini menjadikan rakyat tidak mempunyai peluang pekerjaan yang baik. Masalah pengangguran akan berlaku akibat peluang pekerjaan amat tipis disebabkan keadaan negara yang huru-hara.
            Ekonomi sesebuah negara tersebut juga akan terjejas.Ini kerana sebarang hubungan perdagangan antara sesebuah negara dengan negara yang lain tidak dapat dijalankan. Barang-barang utama untuk sesebuah negara tidak dapat disalurkan ke dalam negara tersebut.
            Justeru, sesebuah negara yang mempunyai kekuatan dalam segala aspek hendaklah membantu negara yang lemah bukan menindasnya.
                                                                                                                              
                                                                                                                                (190 patah perkataan)

Wednesday, 31 October 2012

PESTA KONVOKESYEN UUM KE-25
             Saban tahun, konvokesyen akan diadakan di setiap institusi pengajian tinggi untuk meraikan kejayaan para mahasiswa selepas bertungkus-lumus di dalam pelajaran masing-masing. Universiti Utara Malaysia juga turut tidak ketinggalan mengadakan majlis konvokesyen yang ke-25. Konvokesyen tersebut telah berlangsung selama seminggu iaitu bermula dari 3 Oktober  hingga 10 Oktober.  Konvokesyen itu tidak hanya diadakan sebagai majlis formal untuk penyerahan segulung ijazah tetapi turut dimeriahkan dengan pesta konvokesyen juga.
            Sepanjang konvokesyen tersebut, seperti kebiasaannya, telah diadakan pesta konvokesyen. Pada hari pembukaan pesta konvokesyen tersebut iaitu 3 Oktober, kebanyakan pelajar-pelajar baru semester satu dan dua diwajibkan untuk menyertai acara pembukaan konvokesyen di Pusat Sukan UUM.  Pada malam tersebut, persembahan dari Faizal Tahir telah  membuatkan ramai jadi teruja.
            Walaubagaimanapun, keadaan di pesta konvokesyen malam tersebut amat menyedihkan dan mendukacitakan. Sampah-sarap yang bertaburan di sekitar tapak konvokesyen serta di padang pusat sukan dapat dilihat dengan jelas. Keadaan semasa penyanyi Faizal Tahir membuat persembahan juga dapat dilihat apabila para pelajar terkinja-kinja dan keadaan tersebut agak memalukan. Keadaan lain yang dapat dilihat adalah program-program yang lebih kepada ilmiah dan pembentukan sahsiah kurang diadakan. Seharusnya di peringkat universiti sebegini, program begini harus diadakan semasa pesta tersebut.                                                                               
            Oleh itu, saya berharap para pelajar di universiti harus didedahkan kepada program yang dapat membina sahsiah dan intelektual mereka seperti di pesta konvokesyen ini. Ini kerana mahasiswa adalah generasi masa hadapan negara.

(217 patah perkataan)

Thursday, 4 October 2012

Kemahiran Berbahasa Asing Satu Kelebihan


Alam pekerjaan adalah satu alam yang akan ditempuhi oleh mahasiswa lepasan universiti. Selepas bertungkus-lumus untuk mendapatkan segulung ijazah, kebanyakan mahasiswa mahukan suatu pekerjaan yang bagus untuk karier mereka kerana mendapatkan pekerjaan yang baik adalah satu jaminan terhadap kehidupan yang selesa dan terjamin. Melihat kepada perkembangan zaman sekarang, penulis dapati mahasiswa lepasan universiti tidak kira lepasan institusi pengajian tinggi awam atau swasta cukup ramai. Malah mahasiswa yang cemerlang dalam akademik di kedua-dua jenis institusi pengajian tinggi  ini cukup ramai.

Melihatkan kepada ramainya lepasan universiti di kedua-dua jenis IPT, penulis berpendapat kecemerlangan akademik sahaja tidak mencukupi untuk seseorang untuk terjun ke dalam dunia pekerjaan. Ini kerana persaingan untuk mendapatkan sesuatu pekerjaan di zaman ini sudah tidak boleh disandarkan kepada kecemerlangan dalam akademik sahaja, tetapi mahasiswa  di alam siber ini harus melengkapkan diri dengan kemahiran tambahan dalam diri masing-masing bagi membolehkan kebolehpasaran mereka untuk mendapat pekerjaan yang baik dan terjamin.
               
              Antara kemahiran untuk melengkapkan kebolehan mereka untuk mendapatkan pekerjaan adalah salah satuya mampu menguasai bahasa asing. Ini kerana penguasaan dalam bahasa asing merupakan satu kelebihan untuk mahasiswa. Seperti yang kita ketahui, mahasiswa yang mampu menguasai bahasa asing mampu memberi satu impak atau kesan untuk mendapatkan pekerjaan di tempat-tempat yang baik dan berprestij. Kelebihan yang dapat kita lihat apabila seseorang mahasiswa itu mampu menguasai bahasa asing adalah ia mampu berkomunikasi dengan mudah dengan ramai orang. Ini dapat dilihat seperti di kebanyakan syarikat-syarikat atau agensi-agensi yang besar, mereka mahukan pekerja mereka mampu bertutur dengan fasih dan tenang apabila berhadapan dengan pelanggan mereka. Apabila kita tidak mampu berkomunikasi dengan baik jika berhadapan orang ramai, ini menyukarkan orang ramai untuk mengetahui tentang sesuatu produk tersebut.

              Selain itu, kita mudah untuk meneroka bidang pekerjaan di syarikat-syarikat luar negara yang terkemuka. Contohnya dapat kita lihat seperti syarikat-syarikat di Malaysia, kebanyakannya mahukan mereka mampu menguasai bahasa mereka. Ini dapat dilihat seperti syarikat dari negara Jepun dan Jerman yang mahukan kita untuk bertutur di dalam bahasa ibunda mereka. Kebanyakan mereka akan mengambil pekerja-pekerja yang dapat menguasai bahasa ibunda mereka dan peluang untuk dapatkan pekerjaan lebih cerah. Kelebihan seterusnya adalah  bahasa asing yang mampu dikuasai oleh mahasiswa adalah menjadi pemangkin untuk mencapai hierarki lebih dalam kalangan rakan sebaya, sejawatan dan pengurusan tertinggi. Ini kerana lazimnya, syarikat bertaraf antarabangsa sangat menghargai pekerja boleh berbahasa ibunda dan menjadikan mereka aset yang sangat bernilai untuk sesebuah syarikat tersebut. Masa depan juga cerah, namun ini semua memerlukan usaha yang keras kerana tahap seseorang pekerja tersbut sangat tinggi. Seterusnya, kita dapat lihat apabila seseorang itu mampu menguasai bahasa asing seseorang itu mampu menguasai ilmu tambahan lain. Maksudnya seseorang itu boleh mempelajari budaya dan adat sesebuah negara dengan memeahami bahasa ibunda mereka.

              Oleh itu, penulis berpendapat bahawa penguasaan bahasa asing oleh seseorang mahasiswa yang mahu terjun  ke  alam pekerjaan amatlah penting kerana ianya membawa banyak kebaikan  kepada  mahasiswa tersebut. Secara tidak langsung, seseorang itu akan mendapat penghormatan daripada orang ramai di atas  kelebihan yang dimilikinya itu.

Monday, 24 September 2012

Kemerdekaan Negara ke-55: Janji Ditepati

Assalamualaikum.......

Malaysia adalah sebuah negara yang terletak di Asia Tenggara. Negara ini adalah sebuah negara yang agak kecil berbanding dengan negara yang berjiran dengannya seperti Thailand dan Indonesia tetapi lebih besar dari negara yabg bersebelahan dengannya di sebelah selatan iaitu Singapura. Seperti yang kita ketahui, Malaysia adalah sebuah negara yang pernah dijajah oleh kuasa-kuasa asing seperti Portugis, Belanda, British dan Jepun. Kita telah dijajah agak begitu lama oleh kuasa-kuasa asing tersebut dan kita telah dapat mencapai kemerdekaan pada tarikh keramat yang harus diingati oleh kita sebagai rakyat Malaysia iaitu pada 31 Ogos 1957.

        Walaubagaimanapun, di era globalisasi ini, kita harus berwaspada akan ancaman penjajahan berbentuk lain yang sedikit demi sedikit cuba diserapkan di dalam pemikiran sebagai rakyat Malaysia iaitu penjajahan dari segi pemikiran. Maksud dari konteks penjajahan ini adalah serangan ideologi-ideologi dari negara-negara Barat seperti pluralisme, sekularisme, liberalisme dan Islamophobia. Bermakna kita sudah bebas merdeka dan boleh memerintah negara ini mengikut acuan kita sendiri tetapi kita harus mengingati diri kita sebagai rakyat Malaysia untuk meneguhkan agama dan jati diri kita. 

      

       Melihat kepada perkembangan pembangunan negara, kita telah mencapai  banyak perkembangan yang cukup memberangsangkan. Antaranya kita boleh melihat dengan pembangunan ekonomi, Malaysia adalah sebuah negara Islam contoh kepada kebanyakan negara Islam yang mampu maju mengikut acuannya sendiri. Dari segi pembangunan teknologi, negara kita sudah mampu mengeluarkan produknya sendiri seperti kereta Proton dan Perusahaan Otomobil Nasional (PERODUA) manakala dari segi pembangunan masyarakatnya, Malaysia adalah sebuah negara yang bertuah kerana rakyatnya hidup bersatu padu dan saling hormat-menghormati.


       Selepas 55 tahun merdeka, kita harus banyak bersyukur kerana negara ini masih terpelihara kemerdekaannya dan rakyat bebas untuk melakukan apa-apa perkara tanpa merasai suasana seperti negara yang mengalami peperangan. Sepanjang tempoh kemerdekaan ini juga, Malaysia telah mengalami transformasi seperti slogan 1 Malaysia yang telah diperkenalkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyatukan semua kaum sebagai sebuah entiti masyarakat Malaysia. Bantuan BR1M sebanyak RM 500 kepada golongan yang layak untuk mengambilnya dan KR1M yang ditubuhkan utuk memberi kemudahan kepada rakyat Malaysia yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah yang tinggal di bandar untuk membeli keperluan hidup. Selain itu, bantuan 1 Malaysia berbentuk baucer sebanyak RM 200 turut diberikan kepada pelajar-pelajar di seluruh Malaysia. 


        Pada tahun ini, seperti kelazimannya, Malaysia menyambut kemerdekaan yang ke-55 dengan tema 'Janji Ditepati' yang disambut dengan meriah dan gilang-gemilang oleh lebih 14 ribu peserta perarakan dan persembahan yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat. Perbarisan bermula apabila Yang Di Pertuan Agong Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dan permaisuri Tuanku Hajah Aminah yang disambut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama isterinya Datin Seri Rosmah Mansor tiba di tempat perbarisan. Pelbagai acara telah diadakan seperti nyanyian lagu Kebangsaan dan Negaraku yang dimainkan oleh pancaragam Rejimen Askar Melayu Diraja, bacaan Ikrar Rukun Negara dengan dibariskan oleh 55 peserta disusuli dengan laungan merdeka sebanyak 7 kali dan 'Janji Ditepati' sebanyak tiga kali. Sememangnya kemerdekaan pasti akan disambut saban tahun untuk mengenang jasa tokoh-tokoh terdahulu yang sanggup bergadai nyawa untuk membebaskan negara ini dari cengkaman penjajah.


        Selamat menyambut kemerdekaan kepada seluruh rakyat Malaysia dan peliharalah nikmat kemerdekaan yang dikurniakan oleh tuhan ke atas bumi yang bertuah ini.