Thursday, 4 October 2012

Kemahiran Berbahasa Asing Satu Kelebihan


Alam pekerjaan adalah satu alam yang akan ditempuhi oleh mahasiswa lepasan universiti. Selepas bertungkus-lumus untuk mendapatkan segulung ijazah, kebanyakan mahasiswa mahukan suatu pekerjaan yang bagus untuk karier mereka kerana mendapatkan pekerjaan yang baik adalah satu jaminan terhadap kehidupan yang selesa dan terjamin. Melihat kepada perkembangan zaman sekarang, penulis dapati mahasiswa lepasan universiti tidak kira lepasan institusi pengajian tinggi awam atau swasta cukup ramai. Malah mahasiswa yang cemerlang dalam akademik di kedua-dua jenis institusi pengajian tinggi  ini cukup ramai.

Melihatkan kepada ramainya lepasan universiti di kedua-dua jenis IPT, penulis berpendapat kecemerlangan akademik sahaja tidak mencukupi untuk seseorang untuk terjun ke dalam dunia pekerjaan. Ini kerana persaingan untuk mendapatkan sesuatu pekerjaan di zaman ini sudah tidak boleh disandarkan kepada kecemerlangan dalam akademik sahaja, tetapi mahasiswa  di alam siber ini harus melengkapkan diri dengan kemahiran tambahan dalam diri masing-masing bagi membolehkan kebolehpasaran mereka untuk mendapat pekerjaan yang baik dan terjamin.
               
              Antara kemahiran untuk melengkapkan kebolehan mereka untuk mendapatkan pekerjaan adalah salah satuya mampu menguasai bahasa asing. Ini kerana penguasaan dalam bahasa asing merupakan satu kelebihan untuk mahasiswa. Seperti yang kita ketahui, mahasiswa yang mampu menguasai bahasa asing mampu memberi satu impak atau kesan untuk mendapatkan pekerjaan di tempat-tempat yang baik dan berprestij. Kelebihan yang dapat kita lihat apabila seseorang mahasiswa itu mampu menguasai bahasa asing adalah ia mampu berkomunikasi dengan mudah dengan ramai orang. Ini dapat dilihat seperti di kebanyakan syarikat-syarikat atau agensi-agensi yang besar, mereka mahukan pekerja mereka mampu bertutur dengan fasih dan tenang apabila berhadapan dengan pelanggan mereka. Apabila kita tidak mampu berkomunikasi dengan baik jika berhadapan orang ramai, ini menyukarkan orang ramai untuk mengetahui tentang sesuatu produk tersebut.

              Selain itu, kita mudah untuk meneroka bidang pekerjaan di syarikat-syarikat luar negara yang terkemuka. Contohnya dapat kita lihat seperti syarikat-syarikat di Malaysia, kebanyakannya mahukan mereka mampu menguasai bahasa mereka. Ini dapat dilihat seperti syarikat dari negara Jepun dan Jerman yang mahukan kita untuk bertutur di dalam bahasa ibunda mereka. Kebanyakan mereka akan mengambil pekerja-pekerja yang dapat menguasai bahasa ibunda mereka dan peluang untuk dapatkan pekerjaan lebih cerah. Kelebihan seterusnya adalah  bahasa asing yang mampu dikuasai oleh mahasiswa adalah menjadi pemangkin untuk mencapai hierarki lebih dalam kalangan rakan sebaya, sejawatan dan pengurusan tertinggi. Ini kerana lazimnya, syarikat bertaraf antarabangsa sangat menghargai pekerja boleh berbahasa ibunda dan menjadikan mereka aset yang sangat bernilai untuk sesebuah syarikat tersebut. Masa depan juga cerah, namun ini semua memerlukan usaha yang keras kerana tahap seseorang pekerja tersbut sangat tinggi. Seterusnya, kita dapat lihat apabila seseorang itu mampu menguasai bahasa asing seseorang itu mampu menguasai ilmu tambahan lain. Maksudnya seseorang itu boleh mempelajari budaya dan adat sesebuah negara dengan memeahami bahasa ibunda mereka.

              Oleh itu, penulis berpendapat bahawa penguasaan bahasa asing oleh seseorang mahasiswa yang mahu terjun  ke  alam pekerjaan amatlah penting kerana ianya membawa banyak kebaikan  kepada  mahasiswa tersebut. Secara tidak langsung, seseorang itu akan mendapat penghormatan daripada orang ramai di atas  kelebihan yang dimilikinya itu.

No comments:

Post a Comment