Kemerdekaan Negara ke-55: Janji Ditepati
Assalamualaikum.......
Malaysia adalah sebuah negara yang terletak di Asia Tenggara. Negara ini adalah sebuah negara yang agak kecil berbanding dengan negara yang berjiran dengannya seperti Thailand dan Indonesia tetapi lebih besar dari negara yabg bersebelahan dengannya di sebelah selatan iaitu Singapura. Seperti yang kita ketahui, Malaysia adalah sebuah negara yang pernah dijajah oleh kuasa-kuasa asing seperti Portugis, Belanda, British dan Jepun. Kita telah dijajah agak begitu lama oleh kuasa-kuasa asing tersebut dan kita telah dapat mencapai kemerdekaan pada tarikh keramat yang harus diingati oleh kita sebagai rakyat Malaysia iaitu pada 31 Ogos 1957.
Walaubagaimanapun, di era globalisasi ini, kita harus berwaspada akan ancaman penjajahan berbentuk lain yang sedikit demi sedikit cuba diserapkan di dalam pemikiran sebagai rakyat Malaysia iaitu penjajahan dari segi pemikiran. Maksud dari konteks penjajahan ini adalah serangan ideologi-ideologi dari negara-negara Barat seperti pluralisme, sekularisme, liberalisme dan Islamophobia. Bermakna kita sudah bebas merdeka dan boleh memerintah negara ini mengikut acuan kita sendiri tetapi kita harus mengingati diri kita sebagai rakyat Malaysia untuk meneguhkan agama dan jati diri kita.
Melihat kepada perkembangan pembangunan negara, kita telah mencapai banyak perkembangan yang cukup memberangsangkan. Antaranya kita boleh melihat dengan pembangunan ekonomi, Malaysia adalah sebuah negara Islam contoh kepada kebanyakan negara Islam yang mampu maju mengikut acuannya sendiri. Dari segi pembangunan teknologi, negara kita sudah mampu mengeluarkan produknya sendiri seperti kereta Proton dan Perusahaan Otomobil Nasional (PERODUA) manakala dari segi pembangunan masyarakatnya, Malaysia adalah sebuah negara yang bertuah kerana rakyatnya hidup bersatu padu dan saling hormat-menghormati.
Selepas 55 tahun merdeka, kita harus banyak bersyukur kerana negara ini masih terpelihara kemerdekaannya dan rakyat bebas untuk melakukan apa-apa perkara tanpa merasai suasana seperti negara yang mengalami peperangan. Sepanjang tempoh kemerdekaan ini juga, Malaysia telah mengalami transformasi seperti slogan 1 Malaysia yang telah diperkenalkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyatukan semua kaum sebagai sebuah entiti masyarakat Malaysia. Bantuan BR1M sebanyak RM 500 kepada golongan yang layak untuk mengambilnya dan KR1M yang ditubuhkan utuk memberi kemudahan kepada rakyat Malaysia yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah yang tinggal di bandar untuk membeli keperluan hidup. Selain itu, bantuan 1 Malaysia berbentuk baucer sebanyak RM 200 turut diberikan kepada pelajar-pelajar di seluruh Malaysia.
Pada tahun ini, seperti kelazimannya, Malaysia menyambut kemerdekaan yang ke-55 dengan tema 'Janji Ditepati' yang disambut dengan meriah dan gilang-gemilang oleh lebih 14 ribu peserta perarakan dan persembahan yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat. Perbarisan bermula apabila Yang Di Pertuan Agong Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dan permaisuri Tuanku Hajah Aminah yang disambut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama isterinya Datin Seri Rosmah Mansor tiba di tempat perbarisan. Pelbagai acara telah diadakan seperti nyanyian lagu Kebangsaan dan Negaraku yang dimainkan oleh pancaragam Rejimen Askar Melayu Diraja, bacaan Ikrar Rukun Negara dengan dibariskan oleh 55 peserta disusuli dengan laungan merdeka sebanyak 7 kali dan 'Janji Ditepati' sebanyak tiga kali. Sememangnya kemerdekaan pasti akan disambut saban tahun untuk mengenang jasa tokoh-tokoh terdahulu yang sanggup bergadai nyawa untuk membebaskan negara ini dari cengkaman penjajah.
Selamat menyambut kemerdekaan kepada seluruh rakyat Malaysia dan peliharalah nikmat kemerdekaan yang dikurniakan oleh tuhan ke atas bumi yang bertuah ini.
No comments:
Post a Comment